Bersama Dato Dr Amran Kasimin
SOALAN:
Sama seperti perempuan lain, saya ingin berkahwin, tetapi dihalang oleh
keluarga dan macam-macam masalah. Seingat saya, lebih 10 orang yang
datang meminang. Apabila saya terima pinangan, keluarga membantah,
ataupun bantahan daripada pihak lelaki yang tidak setuju.
Umur saya meningkat 30 tahun dan keluarga saya menyatakan jodoh saya
berat, mungkin saya disihir. Hingga sekarang ini saya menghadapi
masalah mimpi dengan seorang lelaki, kawan sama sekolah dahulu. Kami
hanya berkawan biasa tidak bercinta pun. Selalu terganggu di waktu
tidur. Saya selalu terhidu bau busuk, bau rumput terbakar dan
kadang-kadang bau wangi yang tidak ada puncanya yang dapat dipastikan.
Adakah saya terkena sihir? IZNORA, Ampang
JAWAPAN:
Pertanyaan dan permasalahan yang saudari kemukakan adalah sesuatu yang
tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Walaupun demikian segala
pengalaman dan masalah seperti yang saudari jelaskan adalah sesuatu
yang benar-benar boleh berlaku.
Banyak punca menyebabkan seseorang itu, sama ada lelaki atau perempuan
tidak menemui jodoh, sehingga mencecah umur yang membimbangkan, yang
mempunyai punca yang berbeza. Merujuk kepada permasalahan yang
dikemukakan, seperti yang dijelaskan dalam surat panjang saudari, saya
lebih berkecenderungan untuk mengatakan bahawa saudari menghadapi
masalah yang diistilah sebagai ``pelalau.''
Pelalau adalah salah satu cabang amalan sihir yang terkutuk menurut
pandangan Islam. Ia merupakan salah satu dosa besar yang membinasakan.
Sihir yang dimaksudkan di sini ialah amalan yang dilakukan oleh
manusia, dengan pertolongan atau bantuan jin sama ada jin yang dibela,
dibuat sahabat untuk tujuan-tujuan tertentu, yang pada kebiasaannya
dilakukan untuk menyakiti orang lain, sebab-sebab tertentu seperti
membalas dendam, hasad dengki, cemburu, permusuhan yang berlaku sejak
begitu lama, untuk membinasakan orang lain dan sebagainya. Terdapat
banyak jenis sihir, di antaranya dan yang paling banyak berlaku ialah
sihir untuk memisahkan suami isteri yang juga dikenali sihir pembenci,
sihir pengasih, yang diistilahkan juga ilmu guna-guna, pukau, santau,
pelalau dan sebagainya.
Sihir pelalau dilakukan atau dikenakan ke atas seseorang dengan tujuan
di antaranya untuk mengunci nafsu manusia, tidak kira sama ada nafsu
lelaki ataupun perempuan, daripada keinginan berkahwin. Pada
kebiasaannya, tabiat orang yang berkenaan (mangsa) akan berubah,
menjadi pendiam, tidak aktif, sentiasa dalam keadaan murung, menyendiri
dan sering kali melarikan diri apabila persoalan pernikahan atau
perkahwinan dan hal-hal lain berkaitan cinta itu ditimbulkan oleh
keluarga atau teman-teman.
Selain daripada pelalau yang menyebabkan nafsu kahwin seseorang itu
tertutup, sihir jenis ini juga boleh menyebabkan berlakunya
halangan-halangan, usaha-usaha untuk menemukan jodoh seseorang itu
terbantut. Sebagai contoh, sekiranya seorang perempuan yang terkena
sihir jenis ini bersetuju mengahwini seseorang, setelah beberapa lama
berkenalan, bercinta dan sebagainya, pasangannya mungkin akan menolak,
begitulah sebaliknya. Pasangan ini mungkin telah bertunang beberapa
tahun, tetapi pada saat-saat terakhir si perempuan menolak, enggan
berkahwin dengan tunangnya yang pada asalnya lelaki itu amat dicintai
dan tidak ada masalah dan sebab-sebab yang jelas dapat diterima akal.
Ada juga perempuan yang melarikan diri di saat akhir setelah semua
persiapan lengkap diatur.
Anak yang waras tidak akan berbuat demikian, kerana perbuatan seperti
ini selain memberi aib kepada ibu bapanya, juga kaum keluarga. Biarpun
perbuatan tersebut seumpama mustahil boleh terjadi, tetapi ia pernah
berlaku dalam masyarakat kita lantaran sihir. Bakal pengantin
perempuan melarikan diri dalam keadaan separuh tidak sedarkan diri dan
seluruh perasaan, badannya seumpama ditarik-tarik keluar rumah pada
waktu malam. Pada telinganya dibisikkan, atau seumpama terdengar
bisikan supaya melarikan diri. Halangan untuk menyatukan pasangan ini
mungkin tidak tercetus daripada pasangan itu, tetapi mungkin berpunca
daripada sikap ibu bapa, ataupun salah seorang daripadanya. Biarpun
pasangan ini telah bersetuju untuk berkahwin, tetapi si ibu membantah
tanpa sebab yang jelas.
Si ibu mungkin mengancam akan membunuh diri sekiranya anak perempuannya
tetap berkahwin dengan lelaki pasangannya, mengancam akan keluar lari
dari rumah, tidak menghalalkan makan, minum ataupun tidak mengaku anak
buat selama-lamanya dunia akhirat. Ada banyak kes yang saya temui
seperti yang saudari alami. Seorang responden berumur hampir 30 tahun,
tinggal di Kuala Lumpur, telah dipinang tidak kurang daripada 15 orang
lelaki, tetapi kesemuanya berakhir dengan kegagalan. Ada sahaja
halangan terjadi.
Pernah satu ketika, satu rombongan yang datang lengkap dengan hantaran,
kerana kedua-dua pihak bersetuju. Setelah rombongan tersebut masuk ke
dalam rumah perempuan, tiba-tiba si perempuan dalam keadaan tidak dapat
mengawal diri telah memarahi rombongan ini, sambil menjerit-jerit,
akhirnya mereka balik dengan hampa. Pada hal ketika itu si perempuan
siap sedia dengan pakaian dan perhiasan untuk menerima peminangan itu.
Apa yang berlaku di luar kawalan, mula-mula si perempuan mendengar
suara seperti desiran angin datang dari jauh, kemudian dia mendengar
suara loceng berbalam-balam. Badannya berasa sejuk, bermula dari hujung
jari-jari, lalu dirasakan dunia sedikit demi sedikit menjadi gelap.
Ketika itu dia melihat wajah rombongan yang masuk ke ruang tamu
seumpama lembaga yang menakutkan, lalu dia menjerit, tidak sedarkan
diri.
Dalam kejadian lain, setelah pihak lelaki dipersetujui untuk datang
meminang, pada malam harinya, iaitu hari sebelum rombongan itu datang,
si perempuan ini bermimpi yang dia akan didatangi oleh rombongan untuk
meminangnya. Dalam mimpi itu dijelaskan bahawa rombongan itu akan
gagal, sama seperti rombongan-rombongan lain, yang pernah meminangnya.
Gambaran mimpi yang dialaminya benar-benar berlaku, di mana rombongan
tersebut tidak dapat meneruskan perjalanannya. Ketika berada di Shah
Alam, hujan turun dengan lebatnya berserta petir, akhirnya rombongan
itu balik hampa. Tidak jelas sama ada apa yang berlaku itu hanya secara
kebetulan, ataupun ada kaitannya dengan mimpi yang dialami. Apa yang
nyata peminangan itu gagal. Tidak mudah untuk menyatakan bahawa
kegagalan seseorang itu untuk menemui jodohnya itu berpunca daripada
pelalau yang dijelaskan di sini ataupun sebab-sebab biasa yang bukan
berpunca daripada perbuatan sihir.
Biar dalam keadaan apa sekalipun, sekiranya kegagalan untuk mendapat
jodoh itu berpunca daripada sihir, seperti yang dijelaskan, orang yang
terlibat, sama ada si perempuan atau kedua-dua ibu bapanya akan
mengalami tanda-tanda berlakunya sihir, sama ada tanda tersebut berlaku
sebahagian daripadanya ataupun terjadi secara menyeluruh. Syeikh Wahid
Abdul Salam Bali membahagikan tanda-tanda seseorang itu terkena sihir
kepada dua iaitu tanda ketika tidur dan tanda-tanda ketika dalam
keadaan jaga. Gangguan tidur sering berlaku ketika seseorang itu baru
hendak terlena, juga ketika sedang tidur nyenyak. Mungkin seseorang
terasa perutnya ditusuk dengan jarum, lembing atau benda-benda tajam,
dilanggar kenderaan, menyebabkan darah kelihatan bertaburan, diterkam
oleh makhluk yang menakutkan, yang biasanya berwarna hitam dan
sebagainya. Gangguan yang menakutkan ini datang lagi sebaik-baik
seseorang itu menyambung tidurnya. Pengalaman seperti ini menyebabkan
seseorang itu rasa takut dan bimbang untuk menyambung tidur.
Mereka yang menghadapi masalah seperti ini sering bermimpi melihat
makhluk ganjil, hitam, tinggi lagi menakutkan. Dikejar dan ditangkap
oleh makhluk besar, lalu diselam dalam air dan tercungap-cungap sukar
bernafas. Mimpi melihat binatang yang menakutkan, seperti ular, kucing
besar, anjing ataupun harimau. Makhluk itu kadang-kadang datang
menghambat atau menggigit. Bermimpi berada di tempat asing lagi
menggerunkan atau berada di kubur bersendirian, melihat dirinya sedang
dikapankan dan ditanam dalam tanah, melihat mayat atau berjumpa dengan
orang yang meninggal dunia.
Terasa seolah-olah berada di awang-awang, di tempat tinggi, di gunung
ataupun di hutan lalu jatuh ke bumi. Bermimpi menangis ketika sedang
tidur, lalu menjerit atau merengek, seolah-olah sedang sakit. Orang
berkenaan tidak menyedari dia menangis, tetapi tangisannya dapat
didengari oleh orang lain. Ketika terjaga dia menyedari yang dirinya
benar-benar menangis, mengeluarkan air mata. Terasa seolah-olah digigit
oleh sesuatu, di hujung jari tangan atau kaki atau pada bahagian
badan. Bekas lebam biru dapat dilihat di celah paha atau betis. Terasa
bisa, lenguh pada bahagian berkenaan.
Berlaku juga kejadian ganjil, seperti terdengar bunyi suis lampu
dibuka, paip, suara, pintu, atau tingkap dibuka dan ditutup, suara
orang berlari atau naik tangga dan sebagainya. Lampu rumah
kadang-kadang menyala sendiri, paip mengeluarkan air kemudian tertutup.
Terlihat kepulan asap dalam rumah seolah-olah ada benda yang terbakar.
Terbau bauan yang tiada punca seperti bau sampah, bangkai, darah, bau
kemenyan atau bau wangi. Bau ini selalunya dapat dihidu hanya orang
tertentu iaitu orang yang terlibat atau oleh semua mereka yang berada
di tempat berkenaan. Rasa putus asa hidup. Timbul rasa gelisah, gembira
bersangatan dan sedih saling berganti tanpa sebab yang jelas. Ada
ketikanya timbul dorongan untuk membunuh diri, terutamanya ketika
berada di bangunan tinggi.
Didatangi binatang dalam rumah seperti ular, lipan, kala jengking, ulat
bulu, belalang atau jengkerik, langau, kupu-kupu besar kelihatan
bertaburan di ruang tamu, dalam bilik atau tempat lain tanpa dapat
dikesan punca dari mana binatang itu datang bukan setakat dalam rumah
malah di luar seperti dalam perjalanan balik kampung atau sebagainya,
seolah-olah diekori oleh binatang yang sama. Hakikatnya, tanda-tanda
sihir itu banyak, yang tidak kesemuanya berlaku kepada diri seseorang
yang terlibat. Dalam keadaan tertentu tanda-tanda tersebut berbeza,
bergantung kepada jenis sihir yang berlaku. Berdasarkan simptom-simptom
di atas, juga lain-lain simptom yang tidak dijelaskan, seseorang itu
dapat membezakan sama ada kejadian yang berlaku kepada dirinya itu
seperti kesukaran untuk mendapatkan jodoh itu berlaku kerana
sebab-sebab biasa ataupun akibat perbuatan sihir.